ISLAMABAD, 17 Ogos – Sekurang-kurangnya 307 individu dilaporkan maut di barat laut Pakistan selepas dua hari hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh, menurut pegawai tempatan pada Sabtu.
Bencana itu memusnahkan kawasan pergunungan terpencil di Khyber Pakhtunkhwa susulan hujang lebat berterusan hingga menyebabkan banjir kilat melanda kampung-kampung, menghanyutkan rumah serta ternakan.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah mengesahkan angka kematian yang dilaporkan dengan ramai lagi masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan.
Penduduk tempatan, Rizwan Ul Haq, menggambarkan keadaan itu sebagai kejadian yang memusnahkan kawasan sekitar.
"Ratusan terkorban, ribuan cedera, rumah musnah tanpa kiraan, dan ramai lagi masih hilang. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata," katanya.
Daerah Buner di utara Islamabad merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan 184 kematian direkodkan.
Pihak berkuasa wilayah mengisytiharkan darurat di kawasan yang paling teruk dilanda bencana, selain mengerahkan pasukan tentera dan pasukan penyelamat untuk melakukan tindakan lanjut.
Dalam perkembangan lain, sebuah helikopter bantuan terhempas ketika operasi menyelamat akibat cuaca buruk. Ia mengorbankan kesemua lima kru yang berada di dalam helikopter itu.- REUTERS