HO CHI MINH CITY, 13 November - Jumlah kes keracunan makanan selepas memakan "banh mi" (sandwic Vietnam) dari dua kedai di Bandar Ho Chi Minh meningkat kepada 316 orang, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik Jabatan Kesihatan bandar itu.
Siasatan mendapati keracunan berpunca daripada bakteria "Salmonella enteritidis" dan "Salmonella spp." , yang dikesan melalui darah dan najis pesakit.
Lebih 200 orang dimasukkan ke hospital minggu lalu dengan gejala seperti sakit perut, cirit-birit, muntah dan demam selepas makan banh mi dari kedai berkenaan.
Kebanyakan pesakit telah dibenarkan pulang, namun sekitar 60 orang masih dirawat.
Antara kes paling serius melibatkan seorang pesakit yang turut menghidap penyakit radang paru-paru, tekanan darah tinggi dan fibrilasi atrium.
Pesakit itu dirawat di unit rawatan rapi di Hospital Rakyat Gia Dinh, tetapi kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.- BERNAMA