fb fb fb fb fb

Lebih 30 maut, Daesh terdesak bebaskan anggotanya yang terperuk di penjara

BEIRUT, 21 Januari - Militan Daesh kembali mengganas di bumi Syria.

Sasaran kali ini ialah Pusat Tahanan Ghwayran di Hasakeh, bandar terbesar Syria.

Pusat tahanan itu menempatkan kira-kira 3,500 anggota Daesh yang dipenjarakan atas pelbagai kesalahan dan jenayah.

Menurut laporan badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), serangan yang bermula lewat malam semalam, merupakan percubaan membebaskan banduan Daesh.

Ia antara serangan terbesar sejak kumpulan pengganas antarabangsa itu diisytiharkan tumpas hampir tiga tahun lepas.

"Sekurang-kurangnya 18 askar Kurdish dan 16 anggota miltan maut dalam pertempuran di pusat tahanan di Hasakeh," kata Ketua SOHR, Rami Abdel Rahman kepada AFP.

Menurut kenyataan Tentera Demokratik Suria (SDF), pertempuran masih berterusan di perkarangan pusat tahanan.

Operasi ganas Daesh mencetuskan huru hara di Hasakeh dan memaksa orang awam di sekitar Ghwayran bertebaran menyelamatkan diri.

"Tentera SDF ketika ini berjuang mengambil semula kawalan penuh kawasan kejiranan dan memburu banduan yang terlepas. Setakat ini 89 banduan Daesh yang lolos dari penjara berjaya diberkas," kata kenyataan itu.-AFP

Media Baharu