fb fb fb fb fb

Lebih 30 kapal tentera laut Rusia mulakan latihan di Laut Hitam

FOTO AFP

MOSCOW, 15 Februari - Tentera Laut Rusia memulakan latihan besar-besaran di Laut Hitam sambil menolak amaran Amerika Syarikat yang mendakwa kononnya Moscow akan menyerang Ukraine dalam masa terdekat.

Kementerian Pertahanan Rusia dalam kenyataan memaklumkan lebih 30 kapal armada Laut Hitam Rusia memulakan latihan dari Sebastopol dan Novorossiysk sebagai sebahagian daripada pelan latihan tentera laut.

“Tujuan latihan itu adalah demi mempertahankan pantai semenanjung Crimea, pangkalan tentera armada Laut Hitam serta sektor ekonomi negara daripada kemungkinan ancaman ketenteraan,” katanya.

Perkembangan itu susulan amaran Amerika Syarikat bahawa perang di Ukraine boleh tercetus pada bila-bila masa.

Penasihat Keselamatan Negara White House, Jake Sullivan memberitahu wartawan, serangan mungkin bermula melalui udara disusuli serangan peluru berpandu.

Sehubungan itu beliau menasihatkan rakyat Amerika di Ukraine agar meninggalkan negara itu secepat mungkin.

Beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) juga menggesa warganegara mereka supaya meninggalkan Ukraine.

Moscow bagaimanapun menafikan sebarang rancangan untuk menyerang, namun tetap mengekalkan pendirian akan mempertahankan keselamatannya sendiri terhadap pencerobohan oleh sekutu NATO. -AFP

Media Baharu