GAZA, 11 September - Lebih 10,000 penduduk Palestin dipindahkan secara paksa sejak semalam dengan kebanyakannya menuju ke Khan Yunis.
Perpindahan penduduk itu disebabkan tindakan kejam tentera negara haram Israel yang mengebom bangunan dengan skala lebih besar.
Menurut laporan Anadolu Ajansi, perkembangan tersebut dimaklumkan jurucakap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric dalam satu sidang media.
“Keluarga berkumpul di kawasan terbuka selepas diberi amaran bahawa satu daripada bangunan itu akan diserang, sementara tentera Israel mengarahkan mereka bergerak ke selatan menuju Khan Yunis.
"Ramai penduduk Palestin tiada arah tuju kerana semua kawasan adalah tidak selamat. Pada hari ini dan semalam, lebih 10,000 pemindahan berlaku dari kawasan utara ke selatan, kebanyakannya menuju ke arah Khan Yunis.
“Kami menegaskan semula bahawa di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, orang awam dan infrastruktur awam mesti sentiasa dilindungi dan tidak seharusnya menjadi sasaran. Tapak awam juga tidak boleh digunakan untuk operasi ketenteraan,” katanya.
Dujarric dalam pada itu berharap akses bantuan kemanusiaan perlu segera diperluas dan dikekalkan terutama di bahagian utara dan selatan Gaza.