fb fb fb fb fb

Lapangan Terbang Pakistan berjaga-jaga cegah Mpox

FOTO REUTERS

KARACHI, 17 Ogos - Penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, di sini disaring pada Jumaat selepas Kementerian Kesihatan Pakistan mengesahkan sekurang-kurangnya satu kes virus Mpox atau cacar monyet dikesan daripada seorang pesakit yang tiba dari negara Teluk, kata pihak berkuasa.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada ia daripada varian baharu atau klad yang telah tersebar di seluruh dunia sejak 2022.

Menurut kenyataan akhbar dari ibu pejabat Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Pakistan (PAA), Ketua Pengarah Kesihatan Sindh mengadakan lawatan ke lapangan terbang itu melihat sendiri proses saringan.

Turut hadir bersama-sama beliau ialah Pengurus Lapangan Terbang dan Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Lapangan Terbang.

"Pegawai diberi taklimat mengenai komitmen pentadbiran bagi menggunakan garis panduan yang ditetapkan Pusat Perintah dan Operasi Kebangsaan (NCOC) dengan teliti," menurut kenyataan akhbar itu.

Mereka menilai proses saringan terhadap semua penumpang yang tiba di Pakistan melalui penerbangan antarabangsa dan memeriksa bilik pengasingan yang disediakan Perkhidmatan Kesihatan Sempadan kepada pelancong yang menunjukkan bergejala, kata kenyataan itu.

"Di kawasan yang ditetapkan ini, sejarah perjalanan dan gejala individu dinilai dan jika simptom dikesan, sampel diambil untuk ujian PCR seperti yang dilaporkan kepada mereka," kata kenyataan itu lagi.

WHO pada Rabu (14 Ogos) mengeluarkan amaran berhubung wabak di Afrika selepas kes di Republik Demokratik Congo merebak ke negara-negara berdekatan. - REUTERS

TETITIA YUSOFF