fb fb fb fb fb

Lapangan terbang Iran dibuka semula

FOTO HIASAN

TEHRAN, 15 April- Lapangan terbang di Tehran dan beberapa negeri lain di Iran beroperasi semula hari ini, selepas penggantungan sementara susulan serangan balas ke atas Israel sekali gus meningkatkan ketegangan serantau.

Kesemua penerbangan digantung selepas Iran melancarkan serangan balas pertamanya pada lewat Sabtu ke atas wilayah Israel, menggunakan dron dan peluru berpandu, sebagai tindakan balas terhadap serangan udara maut pada 1 April ke atas konsulat Tehran di Damsyik.

Agensi berita rasmi IRNA melaporkan "penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Tehran kembali normal setakat 6.00 pagi."

IRNA berkata lapangan terbang domestik Mehrabad di Tehran dan lain-lain di seluruh negara termasuk Tabriz di barat laut, Mashhad di timur laut dan Shiraz di selatan semuanya beroperasi mengikut jadual.

Serangan Iran dan kebimbangan kemungkinan tindakan balas Israel telah menyebabkan beberapa syarikat penerbangan menangguhkan penerbangan ke rantau itu.

Syarikat penerbangan Jerman Lufthansa telah menggantung penerbangannya dari dan ke Iran, manakala yang lain termasuk syarikat penerbangan Australia Qantas mengubah laluan pesawat untuk mengelak ruang udara Iran.

Ketegangan itu juga mendorong beberapa negara di Asia Barat termasuk Jordan, Lubnan, dan Iraq menutup ruang udara mereka semalaman Sabtu hingga Ahad, tetapi semuanya telah dibuka semula.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE