fb fb fb fb fb

Lapan terbunuh, India lancar serangan ke Pakistan

Asap tebal kelihatan di bandar utama daerah Poonch pada 7 Mei 2025. India dilaporkan melancarkan peluru berpandu ke wilayah Pakistan awal pagi tadi, mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang / AFP

ISLAMABAD, 7 Mei– Lapan orang awam, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, terbunuh manakala puluhan lagi cedera selepas India didakwa melancarkan serangan udara ke atas enam lokasi berbeza di Pakistan.

Menurut jurucakap rasmi tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, serangan itu disifatkan sebagai tindakan pengecut, tidak berasas dan menyasarkan penduduk tidak bersenjata serta rumah ibadat.

“Dengan sokongan penuh rakyat Pakistan, angkatan tentera negara kini sedang memberi tindak balas sepenuhnya terhadap pencerobohan musuh ini. Mereka akan diberikan balasan yang setimpal,” kata Chaudhry dalam kenyataan berbahasa Urdu.

"Antara kawasan yang diserang termasuk Ahmedpur, di mana empat peluru berpandu dilaporkan disasar ke Masjid Subhanullah, mengorbankan lima orang termasuk seorang kanak-kanak, dan mencederakan 12 yang lain. Masjid itu musnah dan beberapa kuarters kediaman di sekitarnya turut rosak teruk.

"Di Muzaffarabad pula, Masjid Bilal dan kawasan sekitar turut menjadi sasaran. Seorang gadis cedera sebelum disahkan maut, manakala masjid mengalami kerosakan. Serangan ke atas Masjid Abbas pula meragut nyawa dua remaja – seorang gadis berusia 16 tahun dan seorang pemuda 18 tahun. Seorang ibu dan anak perempuannya turut cedera.

"Masjid Umm al-Quran juga dilaporkan menjadi sasaran empat serangan, dengan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan itu," kata Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry.

Dua lagi lokasi di utara Sialkot dan berhampiran Shakargarh turut terjejas, namun tiada kematian dilaporkan di kawasan tersebut.

Menurut Chaudhry, media tempatan dan antarabangsa telah dibawa ke tapak-tapak serangan untuk menyaksikan sendiri kerosakan serta membuktikan kebenaran dakwaan Pakistan terhadap tindakan agresif India yang tidak berperikemanusiaan.- IVORY

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE