fb fb fb fb fb

Gencatan senjata di Myanmar dilanjutkan hingga 31 Mei

Myanmar dilanda gempa bumi kuat pada 28 Mac, meragut hampir 3,800 nyawa/Foto file AFP

ISTANBUL, 7 Mei - Kerajaan tentera telah melanjutkan tempoh gencatan senjata terhadap kumpulan bersenjata etnik di Myanmar sehingga akhir Mei, di tengah-tengah usaha untuk menangani kesan gempa bumi yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan media kerajaan.

Panglima Angkatan Tentera Myanmar memaklumkan tempoh gencatan senjata sementara itu akan dilanjutkan dari 6 Mei hingga 31 Mei.

Beliau berkata angkatan tentera “terus melanjutkan gencatan senjata sementara bagi menyokong sepenuhnya usaha bantuan bencana dan kerja-kerja pembinaan semula, melindungi kepentingan negara serta membantu mewujudkan keamanan sebenar dan berkekalan serta kestabilan negara.”

Myanmar dilanda gempa bumi kuat pada 28 Mac, meragut hampir 3,800 nyawa dan menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

Gempa bumi itu turut menggegarkan negara jiran Thailand, yang mencatatkan sekurang-kurangnya 86 kematian manakala 14 lagi masih hilang.

Berikutan kejadian itu, kerajaan tentera mengisytiharkan gencatan senjata pada 2 April dan gencatan itu kemudiannya dilanjutkan. - BERNAMA-ANADOLU

GRACE AISYAH KEDAYAN