MOSCOW, 24 Jun-Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh termasuk polis,Pengawal Kebangsaan dan paderi selepas beberapa lelaki bersenjata menyerang gereja dan Syanagogue di wilayah Kaukasus, utara Rusia.
Sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali itu didakwa melancarkan serangan serentak di bandar terbesar Makhachkala, Dagestan dan di bandar pesisir pantai Derbent.
Jawatankuasa Penyiasatan Rusia berkata mereka telah membuka siasatan berhubung serangan pengganas" di Dagestan, wilayah yang sebahagian besarnya beragama Islam di Rusia yang berjiran dengan Chechnya.
Pemimpin Dagestan, Sergei Melikov, yang menulis di Telegram menyuarakan kekesalan di atas serangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai keganasan yang sukar dimaafkan.
"Petang ini di Derbent dan Makhachkala, penyerang yang tidak dikenali cuba membuat percubaan untuk mengganggu kestabilan dalam masyarakat.
"Kami tahu siapa di sebalik serangan pengganas ini dan apakah objektif yang mereka kejar," tambahnya tanpa menyatakan sesiapa namun dipercayai merujuk kepada Ukraine.
"Kita mesti faham bahawa perang tetap datang ke sini. Kita merasakannya, tetapi hari ini kita menghadapinya," katanya.
Ujar Melikov, Pihak berkuasa akan cuba mencari "semua anggota yang terlibat dalam (serangan), termasuk di luar negara", katanya.
Pegawai Rusia berkata polis telah membunuh empat lelaki bersenjata di Makhachkala dan dua di Derbent.
Serangan itu menyasarkan "dua gereja Ortodoks, rumah ibadat dan pusat pemeriksaan polis", kata Jawatankuasa Antikeganasan Kebangsaan dalam satu kenyataan kepada agensi berita RIA Novosti.
Berdasarkan maklumat awal, seorang paderi dari Gereja Ortodoks Rusia dan pegawai polis terbunuh dalam serangan berkenaan.
Gereja Ortodoks Rusia berkata paderi besar Nikolai Kotelnikov "dibunuh dengan kejam" di Derbent.
Secara keseluruhannya, enam pegawai terbunuh dan 12 cedera dalam serangan itu, kata jurucakap kementerian dalam negeri Dagestan, Gayana Gariyeva, kepada RIA Novosti.
Kementerian kemudian menambah bahawa seorang ketua polis tempatan telah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.
Sementara itu, Pengawal Kebangsaan Rusia berkata seorang pegawainya telah terbunuh di Derbent dan beberapa lagi cedera.
Kementerian Dalam Negeri Dagestan pula berkata seramai 16 orang, termasuk 13 pegawai polis, cedera dalam serangan itu.