WASHINGTON, 25 November - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan bahawa ia menamatkan perlindungan sementara yang memberi kekebalan kepada imigran Myanmar daripada diusir dari Amerika Syarikat (AS).
Langkah itu melibatkan kira-kira 4,000 warga Myanmar yang telah menetap di Amerika Syarikat di bawah 'Temporary Protected Status' (TPS). TPS memberi perlindungan daripada pengusiran dan membolehkan pemegangnya bekerja.
Status itu diberikan kepada individu yang dianggap berisiko jika kembali ke negara asal, sama ada akibat perang, bencana alam atau keadaan luar biasa lain.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika, Kristi Noem berkata, keputusan menarik balik perlindungan itu dibuat selepas menilai keadaan di negara berkenaan.
TPS diberikan kepada warganegara Myanmar selepas rampasan kuasa tentera pada 2021.
Sebagai sebahagian daripada tindakan ketat terhadap imigresen, Trump telah menamatkan TPS bagi warganegara dari Afghanistan, Cameroon, Haiti, Honduras, Nepal, Nicaragua, Syria, South Sudan dan Venezuela, juga Somalia yang turut akan ditarik balik.- AFP