TEXAS, 25 November - Taufan yang melanda kawasan Willowbrook, Texas pada Isnin, menyebabkan kediaman penduduk rosak dan pokok tumbang di beberapa lokasi.
Menurut pihak berkuasa, laporan awal menunjukkan lebih 100 rumah terjejas, seperti dilaporkan Fox 26 Houston.
Pasukan penyelamat giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan penduduk yang cedera atau terperangkap.
Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan memaklumkan akan menjalankan tinjauan di lapangan pada Selasa.
Sementara itu, penduduk Willowbrook, Abdulrazaq Haruna, berkata beliau sedang bekerja dari rumah ketika menerima amaran taufan melalui panggilan telefon.
"Apabila saya melihat ke luar tingkap, saya nampak angin bertiup semakin kencang. Di hadapan rumah terdapat sebuah pokok oak besar, dan saya melihat ia bergoyang ke kiri dan kanan seperti semak kecil. Ketika itu saya terdetik, ‘Ya Tuhan, sesuatu yang serius sedang berlaku.
“Saya segera bangun dari meja dan bergerak ke bahagian dalam rumah. Kejadian itu berlaku kira-kira 20 saat sebelum keadaan kembali reda", katanya.
Manakala, seorang lagi penduduk Quinn Ocker berkata beliau berada di tempat kerja ketika kejadian berlaku, sekali gus mengelakkan keretanya daripada turut terjejas.
"Mujurlah saya sedang bekerja kerana kereta saya berada di sana, dan ibu saya menghubungi saya dan dia memaklumkan 'tingkap pecah dan siling runtuh,' dan saya fikir, saya rasa insiden tersebut amat teruk", katanya.-REUTERS