WASHINGTON, 16 Disember - Lapan individu maut dalam serangan terbaharu tentera Amerika Syarikat ke atas tiga kapal yang disyaki menyeludup dadah di Laut Pasifik.
Sejak awal September lalu, tentera Amerika di bawah perintah Ketua Pentagon, Pete Hegseth telah menyasarkan bot yang didakwa menyeludup dadah di Laut Caribbean dan timur Lautan Pasifik.
Siri serangan yang dilancarkan Washington telah memusnahkan sekurang-kurangnya 26 kapal dan membunuh sekurang-kurangnya 95 orang.
Pusat Pemerintahan Selatan Amerika mendedahkan, mereka yang terbunuh dipercayai merupakan ahli sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif di perairan tersebut.
Menurut kenyataan pusat berkenaan, risikan mengesahkan bahawa kapal-kapal tersebut sedang transit di sepanjang laluan pengedaran dadah yang diketahui di Pasifik Timur.
Bagaimanapun, serangan dan pembunuhan tersebut mendapat perhatian penyokong hak asasi manusia dan penggubal undang-undang Demokrat.
Presiden Amerika, Donald Trump menegaskan matlamatnya adalah untuk memerangi penyeludupan dadah.-AFP