fb fb fb fb fb

Lapan kakitangan perubatan dibicarakan dalam kes kematian Maradona

(FOTO AFP)

BUENOS AIRES, 23 Jun - Lapan kakitangan perubatan akan dibicarakan atas dakwaan kecuaian jenayah sehingga menyebabkan kematian legenda bola sepak Diego Maradona pada 2020, menurut keputusan mahkamah.

Tarikh perbicaraan bagaimanapun belum ditetapkan.

Menurut pendakwa raya, kematian Maradona disebabkan tindakan penjaganya meninggalkan mendiang "kepada takdir" semasa dirawat di rumah kediamannya.

Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun semasa menjalani pemulihan daripada pembedahan otak susulan darah beku, dan selepas berdekad bertarung melawan ketagihan kokain dan alkohol.

Pakar bedah saraf dan doktor keluarga Leopoldo Luque, pakar psikiatri Agustina Cosachov, pakar psikologi Carlos Diaz, penyelaras perubatan Nancy Forlini dan empat yang lain termasuk jururawat diletakkan bawah siasatan.

(Lapan kakitangan perubatan dibicarakan dalam kes kematian Maradona/Fail AFP)

Pendakwa raya memohon supaya mereka dibicarakan kerana membunuh secara cuai.

Tertuduh berhadapan hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun jika disabit kesalahan. -AFP

Media Baharu