fb fb fb fb fb

Lagi serangan Israel ke atas Syria, lapan maut

Keranda membawa jenazah anggota Kor Pengawal Revolusi (IRGC), Jeneral Sadegh Omizadeh yang terbunuh dalam serangan Israel di Damsyik pada 20 Januari lalu/AFP

BEIRUT, 30 Januari- Serangan terbaharu yang dilancarkan oleh Israel ke atas Syria membunuh lapan orang termasuk pejuang pro-Iran, semalam.

Pengarah Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, serangan itu berlaku di daerah Sayyida Zeinab, selatan Damsyik.

"Tiga peluru berpandu Israel menyasarkan pangkalan milik kumpulan Hizbullah dan Pengawal Revolusi Iran di daerah Sayyida Zeinab, membunuh sekurang-kurangnya lapan orang," katanya.

Kementerian Pertahanan Syria turut memaklumkan serangan itu berlaku sekitar pukul 1.00 tengah hari dengan menyasarkan beberapa lokasi di selatan Damsyik.

Israel telah melancarkan ratusan serangan udara di Syria sepanjang lebih sedekad dan semakin 'rancak' sejak perang antara Hamas dan penjajah itu bermula pada 7 Oktober lalu.

Hubungan Iran dan Syria sejak dahulu tidak disenangi oleh Israel yang berulang kali mengatakan bahawa ia tidak akan membenarkan Iran meluaskan kehadirannya di negara tersebut.

Pada 20 Januari lalu, Israel melancarkan serangan ke atas kejiranan Mazzeh di Damsyik yang membunuh 13 orang termasuk lima anggota Pengawal Revolusi Syria.

Akhir Disember lalu, daerah Sayyida Zeinab turut diserang dan membunuh seorang jeneral kanan Iran. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA