fb fb fb fb fb

Lagi bot bawa 500 pelarian Rohingya mendarat di Indonesia

Dengan ketibaan terbaharu itu bermakna lebih 800 pelarian Rohingya telah mendarat di wilayah Aceh untuk minggu ini sahaja/FOTO AFP

BIREUEN, 19 November - Tiga bot dipenuhi lebih 500 pelarian Rohingya mendarat di wilayah barat Indonesia hari ini, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia merupakan ketibaan terbesar sejak tentera Myanmar melakukan tindakan keras ke atas kumpulan minoriti itu pada 2017.

Masyarakat Rohingya kebanyakannya beragama Islam dianiaya di Myanmar.

Dilaporkan ribuan daripada mereka sanggup menggadaikan nyawa pada setiap tahun untuk merentasi lautan meskipun menanggung kos yang mahal.

Mereka terpaksa berhimpit dalam bot yang usang untuk sampai ke Malaysia atau Indonesia.

Rakan perlindungan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Faisal Rahman berkata sebuah bot tiba di Bireuen, Wilayah Aceh dengan 256 orang di atas kapal.

Manakala 239 yang lain tiba di Pidie, Aceh dan sebuah bot kecil tiba di Aceh Timur membawa 36 pelarian Rohingya.

"Mereka ditemui di beberapa tempat," kata Rahman hari ini.

Katanya, daripada 256 yang menaiki bot Bireuen, 110 adalah wanita dan 60 adalah kanak-kanak.

Dengan ketibaan terbaharu itu bermakna lebih 800 pelarian telah mendarat di Wilayah Aceh minggu ini sahaja.

Pada 14 Nov (Selasa) lalu, seramai 196 pelarian Rohingya mendarat di Aceh.

Sehari kemudian iaitu pada Rabu, sebuah bot kayu mendarat di pantai di Batee, wilayah Pidie di Aceh membawa seramai 147 pelarian Rohingya.

Menurut UNHCR, lebih 2,000 etnik Rohingya dipercayai cuba melakukan perjalanan berisiko ke negara-negara Asia Tenggara lain pada 2022.

Dilaporkan hampir 200 Rohingya mati atau hilang tahun lalu ketika cuba menyeberangi laut yang berbahaya. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN