WUUSTWEZEL, 20 September – Ladang Solitair di utara Belgium menjadi perhatian apabila menampilkan koleksi pokok berbentuk unik dan menyerupai karya seni menjelang berakhirnya musim panas.
Ladang seluas 150 hektar itu menempatkan kira-kira 500 spesies pokok termasuk pine, ginkgo biloba dan magnolia.
Sejak sedekad lalu, ratusan pokok telah dipangkas serta dibentuk secara kreatif hingga menyerupai struktur luar biasa yang jarang ditemui di nurseri biasa.
Keunikan itu menarik minat arkitek, peminat tumbuhan serta produksi filem yang mencari suasana ala dongeng.
Disebabkan nilai seni dan teknik rumit dalam pembentukannya, sebahagian pokok berkenaan dianggarkan bernilai melebihi €10,000 setiap satu.
Koleksi Solitair tersebut sekali gus menjadi bukti potensi pemangkasan kreatif serta penjagaan jangka panjang dalam menghasilkan keindahan landskap yang luar biasa. -REUTERS