JUBA, 20 September – Pelarian di Sudan Selatan kini berdepan keadaan hidup yang semakin meruncing di kem-kem pelarian dalaman (IDP) berikutan kekurangan bekalan serta konflik berlarutan sejak lebih sedekad.
Kisah ini diketengahkan dalam dokumentari khas "Blue Helmets, No Borders" terbitan China Global Television Network (CGTN) yang memaparkan usaha kemanusiaan anggota pengaman China di luar negara.
Di ibu negara Juba, lebih 17,000 orang berlindung di Kem IDP-1 sejak tahun 2013.
Menurut pengerusi kem, Jacob Gatuak Kuol, keadaan bertambah buruk selepas 1,000 pelarian baharu tiba pada Mac lalu akibat peningkatan ketegangan di kawasan konflik.
“Mereka hidup tanpa makanan mencukupi. Malah tiada ruang untuk membina tempat tinggal baharu, menyebabkan ramai terpaksa menumpang bersama saudara mara,” katanya.
Beliau menambah, musim hujan meningkatkan risiko penularan penyakit kerana setiap khemah menempatkan terlalu ramai penghuni dan kebanyakannya sudah bocor setelah lebih tiga tahun tidak menerima plastik pelindung.
“Dalam satu khemah boleh mencecah tujuh hingga 10 orang tinggal bersama,” ujarnya lagi sambil melahirkan kebimbangan mengenai bekalan makanan yang semakin terhad. -REUTERS