fb fb fb fb fb

Labu 'gergasi' menyamai berat lembu jantan pecah rekod

FOTO REUTERS

MOSCOW, 15 September- Seorang tukang kebun amatur di Rusia, Alexander Chusov memecahkan rekod kebangsaan dengan menanam labu seberat 817 kilogram (kg) kira-kira berat purata seekor lembu jantan dalam satu pertandingan yang diadakan di Taman Apotekar dekat sini, Jumaat lepas.

Menurut penganjur, pencapaian Chusov mengatasi rekod sebelumnya iaitu 771 kg, menjadikan labunya yang paling berat pernah ditanam di negara itu.

Chusov berkata fokus utama dia adalah kegembiraan dalam menanam dan mempamerkan tanamannya walaupun hobi itu memerlukan usaha besar terutama pada musim bunga yang sejuk.

"Anda perlu memanaskan tanah dan udara, menutup tanaman dan melindunginya daripada beku," katanya.

Dia menambah bahawa labunya menambah berat sehingga 20kg sehari tahun ini.

Pertandingan itu merupakan sebahagian Festival Musim Luruh tahunan di taman tersebut yang diasaskan oleh Maharaja (Tzar) Peter I atau digelar Peter the Great yang memerintah Rusia dari tahun 1682 hingga 1725.

Selain labu 'gergasi', pelbagai jenis sayur-sayuran lain turut dipamerkan kepada pengunjung festival berkenaan. -Reuters

1509 BD LABU 817KG 2

Alexander Chusov/Reuters

SITI AISHAH MD ISA