fb fb fb fb fb

Ukraine kurang dana tingkat pengeluaran senjata

Sebahagian peralatan sistem peperangan elektronik dipamerkan semasa pameran peralatan ketenteraan di Kiev / FOTO REUTERS

KIEV, 15 September- Ukraine bersedia untuk meningkatkan pengeluaran senjatanya tetapi menghadapi kekangan kewangan, kata pegawai Ukraine pada Sabtu.

Susulan itu, Ukraine meminta pelaburan asing dalam industri pertahanannya.

Kiev telah banyak bergantung pada stok era Soviet dan bantuan ketenteraan dari Barat untuk mempertahankan diri daripada serangan Rusia, sambil membangunkan pengeluaran senjatanya sendiri.

"Pada ketika ini, hadnya bukan pada kemampuan pengeluaran, tetapi pada pembiayaan," kata Oleksandr Kamyshin, penasihat Presiden untuk Hal Ehwal Strategik, di sebuah persidangan di Kiev.

Beliau menjelaskan kepada AFP bahawa Ukraine mempunyai kapasiti pengeluaran bernilai AS$20 bilion tetapi hanya mampu membiayai AS$7 bilion dengan bajet mereka sendiri.

"Adalah sukar untuk menghasilkan dengan wang yang terhad; namun, ia mustahil tanpa wang. Sebab itu kami menggalakkan pelaburan dalam sektor pertahanan dan keselamatan," kata Menteri Pertahanan Rustem Umerov dalam sesi panel yang sama.

Salah satu penyelesaian yang dicadangkan oleh bekas Jeneral AS David Petraeus, ialah menggunakan sebahagian daripada AS$300 bilion aset Rusia yang dibekukan.

Industri pertahanan Ukraine baru-baru ini menunjukkan kemajuan, termasuk keberjayaan ujian peluru berpandu balistik buatan dalam negara serta penggunaan "drone roket" jarak jauh buatan tempatan yang dinamakan Palianytsia.-AFP

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE