fb fb fb fb fb

Koleksi syiling lama Denmark dilelong, 14.8 juta euro berjaya dikumpul

FOTO REUTERS

COPENHAGEN, 15 September- Koleksi syiling Denmark yang telah diarahkan untuk tidak dijual selama satu abad akhirnya dilelong di Copenhagen pada Sabtu, mengumpul 14.8 juta euro, menurut laporan media Denmark.

Selepas lelongan selama lapan jam di ibu kota Denmark, sebanyak 286 syiling yang dijual berjaya meraih 14,820,900 euro (sekitar AS$16.4 juta), lapor agensi berita Ritzau.

Michael Fornitz, pengarah rumah lelong Stack's Bowers cawangan Denmark, memberitahu jumlah akhir tersebut melebihi anggaran awal sebanyak kira-kira 25 peratus.

Lelongan tersebut merupakan kumpulan pertama daripada sekitar 20,000 syiling yang terkandung dalam koleksi Bruun.

Koleksi tersebut telah disimpan dan tidak dijual selama satu abad.

Pada tahun 1922, Lars Emil Bruun, seorang usahawan dan pakar syiling Denmark, membeli koleksi tersebut daripada keluarga bangsawan Bille-Brahe.

Dia meninggal dunia setahun kemudian, dan meletakkan syarat dalam wasiatnya mengenai penjualan koleksi itu.

"Kisahnya ialah Bruun, selepas melihat kehancuran Perang Dunia pertama, sangat bimbang sesuatu akan berlaku kepada koleksi kebangsaan (muzium)," kata Helle Horsnaes, ketua koleksi syiling dan medallion di Muzium Negara Denmark, kepada AFP pada Mei lalu.

"Oleh itu, dia membuat wasiat menyatakan koleksinya harus disimpan sebagai simpanan untuk koleksi kebangsaan selama 100 tahun selepas kematiannya," tambahnya.

Muzium Negara Denmark, yang mempunyai hak keutamaan dalam perjanjian antara Bruun dan keluarga Bille-Brahe, telah membayar satu juta euro untuk tujuh syiling daripada koleksi itu awal tahun ini.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE