(Petugas media menunggu di luar mahkamah majistret Canberra berhubung
perbicaraan kes membabitkan Nick Kyrgios / REUTERS)
SYDNEY, 4 Oktober- Bintang tenis Australia, Nick Kyrgios akan menggunakan alasan kesihatan mental agar pertuduhan serangan terhadap bekas teman wanitanya ditolak.
Kyrgios dituduh menyerang bekas teman wanitanya, Chiara Passari Januari tahun lalu.
Peguam Kyrgios hadir mewakilinya untuk pada perbicaraan di mahkamah majistret Canberra, di mana pemain Australia itu menghadapi tuduhan serangan biasa.
Finalis Wimbledon berusia 27 tahun itu, yang tidak perlu hadir untuk sesi pendengaran kini berada di Tokyo kerana mengambil bahagian dalam Terbuka Jepun.
Peguamnya, Michael Kukulies-Smith, memohon penangguhan agar diberi lebih masa untuk penilaian kesihatan mental dijalankan, menurut media termasuk penyiar awam ABC dan Sydney Morning Herald.
Kukulies-Smith berkata, isu kesihatan mental anak guamnya sudah diketahui umum dan dia akan berusaha agar pertuduhan itu ditolak pada tarikh kemudian.
Pemain nombor 20 dunia itu, tewas pada suku akhir Terbuka AS bulan lalu, berkata dia telah menangani kes itu selama berbulan-bulan dan cuba menanganinya hari demi hari.
"Setiap hari saya cuba mengawalnya dan saya mengambil semua langkah dan menanganinya di luar gelanggang," kata Kyrgios kepada pemberita di Tokyo.
"Saya hanya boleh melakukan apa yang saya boleh dan saya di sini di Tokyo dan hanya cuba bermain tenis yang bagus, meneruskan momentum itu dan melakukan tugas saya iaitu bermain tenis, bermain dengan baik. Itu sahaja."
Kyrgios mungkin akan hadir sendiri apabila perbicaraan kembali ke mahkamah.
Perbicaraan seterusnya itu dijadualkan pada 3 Februari. -AFP
(Nick Kyrgios ketika masih menjalinkan hubungan romantik bersama bekas kekasihnya, Chiara Passari)