fb fb fb fb fb

"Kyo no Ryori" diiktiraf sebagai program masakan Jepun paling lama bersiaran

(FOTO https://www3.nhk.or.jp)

TOKYO, 7 Oktober - Sebuah rancangan masakan Jepun yang bersiaran selama 65 tahun diiktiraf sebagai rancangan masakan paling lama disiarkan di kaca televisyen, kata stesen penyiar NHK.

Sejak mula ditayangkan pada 1957, program "Kyo no Ryori" atau 'masakan hari ini' telah memaparkan 46,600 resipi masakan yang mengikut keadaan semasa iaitu daripada zaman kemelesetan ekonomi sehingga kepada zaman pemerkasaan wanita Jepun.

Penerbit Eksekutif program berkenaan, Mayumi Yanai berkata program masakan berkenaan sangat dekat dengan jiwa penonton Jepun terutamanya dalam kalangan keluarga.

"Masakan apa yang perlu saya sediakan malam ini?

"Saya fikir ini adalah soalan yang sering bermain di minda semua", kata Mayumi kepada pemberita ketika menerima sijil pengiktirafan Guiness World Records pada satu majlis yang diadakan di sini.

Program masakan berkenaan turut mencerminkan perubahan zaman, termasuk pengecilan populasi rakyat dan saiz keluarga Jepun.

Pada pemulaan program berkenaan, ia memaparkan resipi untuk lima orang. Kemudiannya bertukar kepada hidangan masakan untuk keluarga sebelum bertukar kepada dua orang.

Pada episod pertamanya, rancangan tersebut memaparkan masakan kari gaya barat dengan tiram.

Pada ketika itu, dikatakan seorang daripada empat rakyat Jepun bergelut dengan kekurangan zat makanan.

Ketika krisis minyak dunia yang berlaku pada tahun 70-an, rancangan tersebut turut menghasilkan pelbagai resipi bajet rendah sebagai tindak balas kepada krisis berkenaan.

Pada tahun 80-an, rancangan itu mengalihkan tumpuan kepada hidangan yang boleh disediakan dengan cepat bersesuaian dengan perubahan ekonomi Jepun yang mula melibatkan wanita ke dalam sektor pekerjaan.-AFP


(FOTO https://www.newagebd.net)

Media Baharu