ALEPPO, 30 November-Pemantau perang Syria pada Sabtu mendakwa pasukan penentang Presiden Bashar Al-Assad kini menguasai hampir sebahagian kota Aleppo.
Organisasi pemantau berkenaan turut melaporkan Rusia turut melancarkan serangan udara di bandar berkenaan buat kali pertama sejak 2016.
Kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan sekutunya melancarkan serangan terhadap pasukan kerajaan Syria yang disokong Iran dan Rusia sejak Rabu, hari yang sama gencatan senjata berkuatkuasa di Lebanon antara Israel dan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.
"HTS dan sekutu mereka telah menguasai sebahagian besar bandar serta pusat kerajaan dan penjara," kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di Britain.
HTS, sebuah gabungan yang dipimpin oleh bekas cabang Al-Qaeda di Syria, menguasai kawasan Idlib di barat laut Syria serta sebahagian wilayah Aleppo, Hama, dan Latakia.
Pemantau itu turut melaporkan bahawa serangan udara Rusia di Aleppo pada Jumaat telah meningkatkan jumlah kematian kepada 311, termasuk 183 anggota HTS dan kumpulan sekutu yang disokong Turki, 100 anggota tentera dan pasukan prokerajaan, serta 28 orang awam.
Media kerajaan melaporkan empat orang awam terbunuh akibat tembakan HTS ke arah asrama pelajar di Aleppo, sebuah bandar dengan penduduk sekitar dua juta yang pernah menjadi hab pembuatan Syria sebelum perang.-AFP.