fb fb fb fb fb

Lebih 100 pelarian Rohingya diselamatkan di perairan Indonesia

Foto AFP

BANDA ACEH, 30 November-Lebih 100 pelarian Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak, berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki karam di perairan timur Aceh, menurut Agensi Pelarian PBB pada Sabtu.

"Kami menerima laporan dari pihak berkuasa Aceh Timur bahawa terdapat 116 pelarian secara keseluruhan," kata Faisal Rahman dari UNHCR kepada AFP.

"Mereka masih berada di pantai dan belum diputuskan ke mana mereka akan dibawa", katanya.

Seorang nelayan tempatan, Saifudin Taher, berkata bot tersebut mula dikesan memasuki perairan Aceh Timur pada awal pagi Sabtu sebelum hampir karam beberapa jam kemudian.

"Semua penumpang selamat, tetapi seorang daripada mereka jatuh sakit dan segera menerima rawatan," jelasnya.

Rohingya, etnik Muslim yang mengalami penindasan di Myanmar, sering menggadaikan nyawa dalam perjalanan laut yang panjang dan berbahaya untuk mencari perlindungan di Malaysia atau Indonesia.

Meskipun Indonesia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB, ramai penduduk Aceh bersimpati dengan nasib Rohingya.

Namun, ketegangan kadangkala timbul apabila komuniti tempatan mendakwa sumber yang terhad dikongsi bersama-sama pelarian.

Pada Disember 2023, Ratusan pelajar Universiti di Aceh, Indonesia menyerbu pusat perlindungan sementara yang menempatkan lebih seratus pelarian Rohingya memaksa minoriti Myanmar yang teraniaya itu meninggalkan negara itu.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD