ANKARA, 21 November- Sebuah kumpulan dianggotai pegawai kanan beberapa negara Islam akan mengadakan pertemuan dengan lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak gencatan senjata dengan segera di Gaza.
Sumber Kementerian Luar Turkiye hari ini berkata, kumpulan itu ditubuhkan awal bulan ini pada sidang kemuncak Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh.
Ia dianggotai Menteri Luar dan wakil dari Turkiye, Qatar, Mesir, Jordan, Nigeria, Arab Saudi, Indonesia, Palestin dan Setiausaha Agung OIC.
Sumber itu berkata, kumpulan itu mula berkomunikasi dengan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu Amerika Syarikat (AS), China, Rusia, Britain, dan Perancis, dengan lawatan ke Beijing, semalam dan akan melawat negara lain.
"Matlamat utama kumpulan itu adalah supaya gencatan senjata diumumkan secepat mungkin dan bantuan kemanusiaan dihantar ke Gaza.
"Sebagai matlamat akhir, (kumpulan) menyasarkan untuk menyumbang kepada penyelesaian dua negara dalam rangka kerja yang diterima di peringkat antarabangsa supaya rakyat Palestin dapat tinggal di negara sendiri dengan kestabilan, selamat dan makmur," katanya.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan tidak menyertai lawatan ke Beijing dan mengikut kumpulan itu ke Moscow, hari ini ketika Presiden Tayyip Erdogan sedang dalam lawatan ke Algeria.
Fidan semalam berkata, beliau akan menyertai jelajah seterusnya. Katanya, buat masa ini, negara-negara Islam memutuskan untuk menggunakan "cara diplomatik dan kemanusiaan" yang ada untuk menamatkan pertempuran di Gaza.
Ujarnya, serangan Israel mesti dihentikan di PBB dan platform lain dengan usaha dari negara yang sehaluan.
Kumpulan itu akan bertemu Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron ketika lawatan ke Britain dan Perancis, esok.
Media Turkiye melaporkan kumpulan itu melawat Perancis dan Britain, semalam.
Secara berasingan, sekumpulan 87 orang Turkiye, Cyprus Turki dan saudara-mara mereka tiba di Mesir dari Gaza, semalam, dan dijangka terbang ke Istanbul lewat pada hari ini.
Semalam, hampir 200 mangsa yang dipindahkan dari Gaza tiba di Turkiye, termasuk pesakit yang memerlukan rawatan perubatan dan pengiring. - REUTERS