fb fb fb fb fb

Kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB perlu dihapuskan - PM

NEW YORK, 24 September - Kepincangan tadbir urus global dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi punca konflik dan krisis yang berlaku di seluruh dunia tidak dapat diselesaikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan tegas menyuarakan, masalah yang paling besar di badan dunia itu adalah Majlis Keselamatannya.

Kuasa veto sering disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia tertentu.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan kenyataan negara
pada Debat Umum Perhimpunan Agung PBB ke-77 di New York)

"Ini tidak demokratik dan melanggar prinsis asas demokrasi. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut.

"Selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya," katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum Perhimpunan Agung PBB ke-77, di sini.

Tambah Ismail, piagam PBB dan undang-undang antarabangsa wujud untuk menggalakkan penyelesaian damai bagi pertikaian antara negara.

Kedua-duanya menetapkan had sesebuah negara dalam mengejar kepentingan diri.

Tegas Perdana Menteri, berdasarkan prinsip itu Malaysia menentang pencabulan undang-undang antarabangsa, termasuk prinsip kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara.

"Apabila konflik tercetus, semua pihak bertanggungjawab untuk meredakan ketegangan serta memberi keutamaan kepada keselamatan dan nyawa orang awam. Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan antarabangsa," katanya.

Ismail berkata, langkah sedemikian bertentangan dengan prinsip multilateralisme dan menghalang dialog.

Media Baharu