fb fb fb fb fb

Kuasa besar perlu jujur selesaikan kekejaman terhadap rakyat Palestin, henti jadi entiti Apartheid - PM

NEW YORK, 24 September - Malaysia mahu kuasa-kuasa besar bersikap jujur dalam menyelesaikan isu kekejaman yang dihadapi rakyat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta PBB mengambil pendirian tegas itu bagi memastikan penyelesaian segera terhadap krisis yang telah lama berlarutan di bumi Palestin.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan kenyataan negara
pada Debat Umum Perhimpunan Agung PBB ke-77 di New York)

"Apa yang berlaku hari ini, kebanyakan negara begitu cepat bertindak dalam kes yang berlaku di Ukraine. Malaysia mahu yang sama harus diambil bagi menyelesaikan isu di Palestin. Israel perlu berhenti menjadi sebuah entiti Apartheid," katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum Perhimpunan Agung PBB ke-77, di sini.

Datuk Seri Ismail menyuarakan kekecewaan Malaysia dengan pendudukan secara kejam oleh Israel.

Katanya, rakyat Palestin terus hidup dalam belenggu dasar-dasar diskriminasi rejim zionis.

Penempatan haram yang semakin berleluasa bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi 2334 Majlis Keselamatan yang telah menyebabkan hak paling asas rakyat Palestin terus dinafikan.

Sementara itu, Ismail berkata Malaysia mengalu-alukan perwujudan koridor laluan laut yang membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine.

Beliau menyifatkannya sebagai langkah positif dalam menangani masalah sekuriti makanan.

"Dalam hal ini, Malaysia ingin mengulangi ketegasan agar semua negara, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya mengelak daripada mewujudkan blok pengasingan, yang hanya mendorang dunia ke kancah perang dingin. Dunia perlu sedar keamanan hanya boleh dicapai melalui dialog dan rundingan," katanya.

Kata Ismail, harga yang perlu dibayar sesebuah peperangan adalah tinggi nilainya dan ianya dibuktikan dengan situasi yang dialami Ukraine.

Konflik tersebut ternyata mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan.

Media Baharu