fb fb fb fb fb

Tujuh maut susulan letupan berhampiran masjid di Kabul

(FOTO AFP)

KABUL, 24 September - Tujuh maut susulan kejadian letupan di luar masjid dikunjungi anggota Taliban di ibu negara Afghanistan, beberapa minit selepas solat Jumaat selesai.

Letupan itu berlaku berhampiran pintu masuk masjid Wazir Akbar Khan, tidak jauh dari bekas kubu Zon Hijau yang menempatkan beberapa kedutaan sebelum Taliban merampas kuasa pada Ogos 2021.

Masjid itu kini sering dikunjungi komander dan pejuang kanan Taliban.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Nafy Takor memaklumkan sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 41 lagi cedera, termasuk kanak-kanak.

(Pejuang Taliban berkawal di tapak letupan, berhampiran sebuah masjid
di Kabul, Afghanistan / FOTO AFP)

"Letupan berlaku ketika jemaah sedang menuju ke rumah," kata Takor sambil menambah bahan letupan itu diletakkan di dalam sebuah kereta.

Imej tidak disahkan yang disiarkan di media sosial menunjukkan sebuah kereta remuk dibakar di atas jalan di luar masjid.

Setakat ini, tiada kumpulan mendakwa melakukan serangan tersebut.

Masjid sama pernah dibom pada tahun 2020, yang telah mengorbankan imamnya.

Serangan bom kerap berlaku di Kabul dan bandar lain, walaupun keganasan keseluruhannya menurun dengan ketara di seluruh Afghanistan sejak perang berakhir dan Taliban kembali berkuasa.

Beberapa masjid dan paderi menjadi sasaran dalam serangan itu yang beberapa daripadanya didakwa dilakukan kumpulan Daesh.

Dua kakitangan kedutaan Russia maut dalam kejadian pengeboman berani mati di luar pejabat awal bulan ini, serangan terbaru di ibu negara yang didakwa dilakukan kumpulan itu. - AFP

Media Baharu