fb fb fb fb fb

Krisis tenaga di Australia diburukkan lagi dengan kekurangan bekalan elektrik

SYDNEY, 14 Jun- Amaran gangguan bekalan elektrik dikeluarkan hari ini bagi seluruh bahagian pantai timur Australia yang padat dengan penduduk, ketika krisis tenaga melanda salah satu pengeluar arang batu dan gas terbesar di dunia.

Pengawal selia pasaran tenaga Australia memberi amaran kemungkinan berlakunya gangguan bekalan di negeri Queensland dan New South Wales, yang menempatkan lebih 13 juta penduduk.

Perdana Menteri yang baru dipilih, Anthony Albanese menyalahkan kerajaan terdahulu, yang berkuasa selama hampir sedekad.

"Akibat kegagalan kerajaan terdahulu untuk melaksanakan dasar tenaga, kesannya dirasai sekarang," katanya kepada pemberita di Brisbane.

(Anthony Albanese/REUTERS)

Di sebalik usaha pengawal selia pasaran tenaga negara berunding dengan syarikat-syarikat penjana kuasa, kebanyakan syarikat tidak mahu menyalurkan lebih kuasa ke dalam sistem berikutan harga siling Aus$300/MWj ($208) yang dianggap rendah.

Pengawal selia juga sedang meneroka pilihan untuk memaksa syarikat menjana lebih banyak tenaga elektrik, untuk mengelak gangguan bekalan elektrik di Queensland.

Australia adalah salah satu daripada tiga pengeluar gas dan arang batu terbesar dunia, tetapi kira-kira satu perempat daripada stesen jana kuasa arang batu di pantai timur kini berada di luar talian kerana gangguan dan penyelenggaraan.

Pencerobohan Rusia di Ukraine juga telah menyaksikan lonjakan permintaan eksport bagi minyak dan gas asli Australia, sekali gus mengurangkan lebihan bekalan yang boleh digunakan bagi menampung kekurangan domestik.

Isu bekalan diburukkan lagi oleh cuaca sejuk di seluruh pantai timur. -AFP

Media Baharu