WASHINGTON, 26 April – Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia, Indermit Gill memberi amaran bahawa peningkatan ketidaktentuan perdagangan global memburukkan lagi masalah hutang dan pertumbuhan perlahan dalam kalangan negara membangun dan pasaran baharu muncul.
Beliau berkata, pemotongan tarif oleh negara-negara itu sendiri boleh menjadi langkah penting untuk merangsang ekonomi.
Tambahnya, krisis semasa yang berpunca daripada dasar kerajaan termasuk tarif tinggi Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump berbeza dengan krisis global sebelum ini dan masih boleh dibalikkan.
Menurut Gill, pertumbuhan perdagangan global kini diunjur hanya 1.5 peratus, jauh lebih rendah berbanding 8 peratus pada awal 2000, manakala aliran pelaburan langsung asing (FDI) juga susut daripada 5 peratus kepada hanya 1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara membangun.
Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada 150 negara membangun kini berada dalam tekanan hutang, dengan bayaran faedah mencecah 12 peratus daripada KDNK, paras tertinggi sejak 1990. Negara miskin pula menanggung kos hutang sebanyak 20 peratus daripada KDNK.
Gill menegaskan, jika kadar faedah kekal tinggi dan pertumbuhan global terus perlahan, lebih banyak negara, termasuk pengeksport komoditi, akan berdepan krisis hutang yang lebih parah.
Beliau mencadangkan agar negara membangun segera meliberalisasikan tarif dan berunding dengan AS untuk mengurangkan tekanan perdagangan.
Menurut model Bank Dunia, langkah itu boleh merangsang pertumbuhan secara signifikan.-REUTERS