fb fb fb fb fb

Krisis ekonomi Sri Lanka, rakyat berhimpun gesa Rajapaksa letak jawatan

COLOMBO, 10 April - Ribuan penunjuk perasaan berhimpun dekat bangunan pentadbiran menempatkan pejabat presiden di Colombo, menuntut peletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa.

Ia susulan krisis ekonomi Sri Lanka yang semakin memburuk diikuti kekurangan bekalan barangan keperluan termasuk bahan api dan ubat-ubatan.


(FOTO REUTERS)

Menteri Kewangan, Ali Sabry memberitahu, negara dengan kepadatan 22 juta penduduk itu memerlukan sekurang-kurangnya US$3 bilion dana IMF bagi memulihkan keadaan.

"Keutamaan kami kini adalah untuk memulihkan kembali keperluan asas seperti makanan dan bahan api bagi menjana semula bekalan elektrik yang menjadi sebab kebangkitan rakyat," katanya.

Menurut penganalisis J.P. Morgan, anggaran hutang kasar Sri Lanka bakal mencecah US$7 bilion tahun ini, dengan defisit akaun semasa sekitar US$3 bilion termasuk sejumlah US$12.6 bilion dalam bentuk bon yang tertunggak.

Kerajaan Presiden Gotabaya Rajapaksa kian mendapat tekanan daripada rakyat sehingga memaksa beliau mengeluarkan perintah darurat beberapa hari lalu yang hanya bertahan kurang 24 jam.

Protes anti-kerajaan juga telah merebak ke seluruh pelusuk pulau itu dengan sekurang-kurangnya satu kejadian keganasan berlaku di ibu negara Colombo. - REUTERS

Media Baharu