fb fb fb fb fb

Krisis banjir di Australia dijangka bertambah buruk

(Imej satelit menunjukkan ladang yang ditenggelami banjir di
Rochester, Australia, kelmarin /REUTERS)

SYDNEY, 18 Oktober- Ribuan penduduk di seluruh tenggara Australia hari ini bersiap sedia menghadapi banjir yang dijangka berlaku susulan ramalan cuaca memberi amaran lebih banyak hujan lebat pada minggu ini, mengakibatkan paras sungai menenggelamkan ladang, bandar serta kediaman.

Sungai terpanjang di Australia, Murray yang merentasi sempadan antara dua negeri berpopulasi tinggi iaitu New South Wales dan Victoria, boleh mencapai paras tertinggi dalam tempoh hampir 30 tahun pada Jumaat ini di sekitar bandar sempadan Echuca dan Moama, yang menempatkan lebih 20,000 orang, menurut kemas kini baharu Biro Meteorologi.

Di Moama, kira-kira 200 kilometer di utara Melbourne, krew kecemasan meningkatan penghantaran beg pasir dan menubuhkan pusat penyelamat bagi membantu melindungi ratusan penduduk yang dipindahkan.

Beberapa ribu lagi di utara Victoria dan selatan New South Wales diberi amaran supaya bersedia meninggalkan rumah mereka.


(FOTO REUTERS)

Meskipun cuaca buruk sudah semakin reda, amaran banjir besar masih kekal merentasi kawasan luas tenggara selepas wilayah itu menerima jumlah hujan melebihi jangka masa sebulan dalam tempoh dua hari minggu lalu.

"Kapasiti empangan dan paras sungai mencapai tahap maksimum, jadi kita menjangkakan beberapa hari ini akan menjadi tempoh sukar. Malah, walaupun langit cerah, penduduk diminta bersedia untuk berpindah," kata Perdana Menteri New South Wales, Dominic Perrottet ketika taklimat media.

Hujan berlebihan dijangka lewat esok di beberapa wilayah yang dilanda banjir dengan sistem tekanan rendah dijangka meningkatkan paras sehingga 50 milimeter (mm) hujan.

Sementara itu, Bendahari Persekutuan Jim Chalmers memberi amaran banjir di sesetengah kawasan berupaya melonjakkan harga makanan dan menandakan lebih banyak perbelanjaan bantuan mendahului bajet yang dijadualkan minggu depan.

"Apabila beberapa tanah ladang terbaik di dunia ditakungi air, ia akan mengakibatkan tanaman terjejas dan memberi kesan kepada kos sara hidup sekitar Australia," katanya.

Pembuat minuman berasaskan tumbuhan dan tenusu Noumi, yang memproses susu di sebuah kemudahan di bandar Shepparton yang dilanda banjir, memaklumkan operasi berjalan pada kapasiti berkurangan di tengah-tengah laporan media penternak tenusu membuang susu selepas ladang terputus akibat air yang semakin meningkat. - REUTERS

Media Baharu