fb fb fb fb fb

Kremlin 'tiada komen' mengenai bekalan senjata

Anggota bomba memadamkan sisa peluru berpandu di Ukraine/REUTERS

MOSCOW, 9 Januari- Kremlin enggan mengulas berkenaan dakwaan Amerika Syarikat dan Ukraine bahawa Moscow menggunakan peluru berpandu buatan Korea Utara. Dalam perkembangan sama turut menuduh Kiev menggunakan peluru berpandu yang dihasilkan oleh negara Barat untuk menyerang Rusia.

Minggu lalu White House berkata Rusia menggunakan peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM) yang diperoleh dari Korea Utara untuk melakukan beberapa serangan terhadap Ukraine. Pegawai kanan Ukraine mengesahkan dakwaan itu.

Kedua-dua negara Moscow dan Pyongyang semakin rapat sejak permulaan konflik Ukraine, walaupun mereka menafikan membuat sebarang perjanjian senjata. Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bertemu Presiden Vladimir Putin di wilayah Timur Jauh Rusia pada September lalu dan pegawai kanan Rusia telah membuat beberapa lawatan ke Pyongyang.

Ketika ditanya mengenai tuduhan AS dan Ukraine semasa panggilan dengan wartawan, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov menjawab, "tiada komen."

Peskov turut menambah Ukraine berulang kali menyerang sasaran awam di Rusia menggunakan peluru berpandu yang dihasilkan oleh "Jerman, Perancis, Itali, AS, dan negara-negara lain".

Ukraine menyerang bandar sempadan Rusia Belgorod pada 30 Disember dan telah membunuh lebih 20 individu termasuk dua kanak-kanak dan mencederakan 111, lapor media Rusia.

Wilayah Belgorod bersempadan dengan utara Ukraine terkesan dengan serangan tembakan dan dron sepanjang tahun.

Moscow menghantar berpuluh-puluh ribu tentera ke Ukraine pada 24 Februari 2022, dengan tujuan yang dinyatakan untuk "menghalau tentera" dan berkata negara Barat termasuk Amerika Syarikat bertanggungjawab kerana membekalkan senjata kepada Kiev.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI