PRISTINA, 27 Disember- Kosovo telah mengesan kes pertama jangkitan cacar monyet (mpox) melibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang baru pulang dari Afrika Barat.
Menurut Institut Kesihatan Awam Kosovo pada Jumaat, pesakit dimasukkan ke hospital pada 24 Disember selepas menunjukkan gejala demam, menggigil serta perubahan pada kulit di bahagian muka dan tangan.
Bagaimanapun, keadaan pesakit dilaporkan stabil.
Pihak berkuasa kesihatan telah mengesan individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit dan telah memberikan panduan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada November lalu menyatakan bahawa wabak cacar monyet masih dianggap sebagai kecemasan kesihatan awam.
Wabak itu sebelum ini telah merebak dari Republik Demokratik Congo ke negara-negara jiran.
Wabak cacar monyet lazimnya merupakan jangkitan virus yang ringan, dengan gejala termasuk demam, sakit kepala dan lesi pada kulit.- REUTERS