BEIJING, 27 Disember- China akan menaikkan had umur pemandu bas bersaiz sederhana dan besar serta trak sebagai sebahagian daripada usaha menangani cabaran populasi yang semakin tua, kadar kelahiran yang menurun dan pengurangan tenaga kerja.
Langkah itu bertujuan mengekalkan kestabilan sistem pengangkutan negara dalam tempoh jangka sederhana sementara sektor tersebut bersiap sedia mengadaptasi lebih banyak revolusi automotif, ke arah teknologi hijau.
Kementerian Keselamatan Awam dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa bermula tahun depan, had umur maksimum bagi permohonan lesen pemandu bas dan trak akan dinaikkan daripada 60 kepada 63 tahun.
Selain itu, pemandu berusia lebih 63 tahun boleh memohon lanjutan lesen sehingga tiga tahun, dengan syarat mereka lulus pemeriksaan perubatan dan ujian memori, penilaian situasi, serta tindak balas.
Langkah tersebut berikutan perubahan dasar beberapa dekad lalu di Beijing yang membenarkan pemandu bas lelaki bersara awal pada usia 55 atas sebab keselamatan.
Namun, China kini beralih arah kerana kekurangan tenaga kerja.
Pada awal tahun ini, badan legislatif tertinggi China meluluskan cadangan untuk menaikkan umur persaraan secara berperingkat selama 15 tahun.
Lelaki akan bersara pada usia 63 berbanding 60, manakala wanita pekerja pejabat pada usia 58 dan pekerja kilang pada usia 55.
Perubahan berkenaan menjadikan China lebih seiring dengan rakan serantau seperti Jepun dan Korea Selatan yang turut menghadapi isu kadar kelahiran rendah dan tenaga kerja yang semakin tua.- REUTERS