fb fb fb fb fb

Korea Utara lancar ujian peluru berpandu balistik ketika Majlis Keselamatan PPB bincang ujian sama

FOTO AFP

SEOUL, 11 Januari- Korea Utara melancarkan ujian; dipercayai peluru berpandu balistik ke laut.

Menurut kenyataan tentera Korea Selatan, tindakan itu dilakukan kurang seminggu selepas Pyongyang membuat tindakan sama.

Ujian awal pagi itu berlaku ketika Majlis Keselamatan PBB mengadakan pertemuan di New York bagi membincangkan pelancaran peluru berpandu hipersonik oleh Pyongyang pada minggu lalu.

“Pihak tentera mengesan peluru berpandu balistik dilancarkan dari kawasan darat Korea Utara ke Laut Timur pada kira-kira 7:27 pagi,” menurut Ketua Turus Bersama Seoul dalam satu kenyataan.

Pengawal pantai Jepun turut melaporkan perkara sama menyatakan Korea Utara telah melepaskan satu objek dipercayai peluru berpandu balistik.

Pada Isnin, enam negara termasuk Amerika Syarikat dan Jepun menggesa Korea Utara menghentikan tindakan yang menyebabkan keadaan tidak stabil menjelang mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan PBB.

Perancis, Britain, Ireland dan Albania turut menggesa Korea Utara tidak melakukan sebarang tindakan yang mengganggu kestabilan; seterusnya mahu program pembangunan senjata nuklear ditamatkan sepenuhnya.

Penganalisis menyatakan Pyongyang mungkin telah menetapkan masa pelancaran itu ketika mesyuarat Majlis Keselamatan PBB diadakan.

“Pelancaran itu ada motif politik dan ketenteraan,” kata  Shin Beom-chul, penyelidik di Institut Penyelidikan dan Strategi Nasional Korea. -AFP

Media Baharu