fb fb fb fb fb

Korea Utara beri amaran latihan ketenteraan AS, Korea Selatan, Jepun

Kim Yo Jong/ REUTERS

PYONGYANG, 14 September - Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, memberi amaran bahawa latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun boleh membawa 'kesan negatif' kepada ketiga-tiga negara tersebut, lapor media rasmi negara itu.

Menurut kenyataan tentera Korea Selatan, latihan tahunan yang dinamakan Freedom Edge itu akan bermula pada Isnin (15 September), bertujuan meningkatkan keupayaan operasi udara, laut dan siber bagi menghadapi ancaman nuklear serta peluru berpandu Korea Utara.

"Ini mengingatkan kita bahawa pertunjukan kuasa secara melulu oleh AS, Jepun dan Korea Selatan di tempat yang salah, iaitu di sekitar Republik Rakyat Demokratik Korea, pasti akan membawa kesan negatif kepada mereka sendiri," katanya menerusi agensi berita rasmi KCNA.

Korea Utara sebelum ini sering mengkritik latihan bersama tersebut sebagai persediaan untuk pencerobohan, malah ada kalanya bertindak balas dengan ujian senjata. Namun, Seoul dan Washington menegaskan latihan itu semata-mata bertujuan pertahanan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI