BEIJING, 14 September - Ribut hujan batu secara tiba-tiba melanda Beijing pada Sabtu, sekali gus mengejutkan penduduk di ibu negara China itu.
Selain hujan batu, hujan lebat dan kilat turut dilaporkan di beberapa daerah, dengan Kampung Damozhuang di Daerah Mentougou merekodkan jumlah taburan hujan tertinggi iaitu 31.1 milimeter.
Kerajaan perbandaran mengeluarkan amaran kuning bagi ribut petir, manakala beberapa daerah termasuk Dongcheng, Xicheng, Haidian dan Chaoyang turut mengeluarkan amaran kuning berhubung ribut hujan batu.
Pihak berkuasa cuaca menjangkakan ribut petir bertebaran akan bergerak dari barat ke timur Beijing, dengan hujan lebat singkat serta angin kencang dijangka berlaku di beberapa kawasan.
China menggunakan sistem amaran cuaca empat peringkat berwarna, dengan merah mewakili tahap paling serius, diikuti jingga, kuning dan biru.- REUTERS