SYDNEY, 14 September- Australia akan membelanjakan Aus2 bilion (AS$8 bilion) sebagai permulaan untuk menaik taraf kemudahan limbungan kapal bagi armada kapal selam berkuasa nuklear pada masa hadapan.
Menteri Pertahanan Richard Marles berkata, pelaburan yang "sangat signifikan" itu akan dibelanjakan dalam tempoh sedekad untuk mengubah kawasan pembinaan dan penyelenggaraan kapal di Perth, Australia Barat.
Ketika ini, kerajaan melaburkan wang ke dalam Kawasan Pertahanan Henderson di Perth selepas menandatangani pakatan AUKUS 2021 dengan Britain dan Amerika Syarikat untuk melengkapkan tentera lautnya dengan kapal selam berkuasa nuklear.
Pelaburan ini sebahagian daripada penstrukturan semula ketenteraan utama untuk meningkatkan keupayaan serangan jarak jauh Australia berikutan kekuatan ketenteraan China yang semakin berkembang di seluruh Pasifik.
Australia, yang tidak mempunyai infrastruktur untuk memberi perkhidmatan kepada kapal selam berkuasa nuklear, menyasarkan untuk memperoleh sekurang-kurangnya tiga kapal selam kelas Virginia AS dalam tempoh 15 tahun.
Negara itu juga menyasarkan untuk mengeluarkan kapal selamnya sendiri.
"Henderson adalah komponen utama dalam AUKUS dan ini akan disambut baik oleh AS dan United Kingdom," kata Marles kepada Sky News Australia.
Pelaburan itu akan melengkapkan Henderson dengan fasiliti keselamatan tinggi untuk menyelenggara kapal selam berkuasa nuklear, serta mewujudkan kemudahan untuk membina kapal pendaratan.
Jumlah kos untuk membangunkan Kawasan Pertahanan Henderson boleh mencecah Aus5 bilion.
Pengembangan limbungan kapal itu adalah yang terbaru dalam senarai naik taraf pertahanan Australia berprofil tinggi. -AFP