fb fb fb fb fb

Korea Selatan rancang pelaburan tambahan $4.9 bilion untuk semikonduktor

Kedai pertukaran mata wang di Seoul/ AFP

SEOUL, 15 April- Kerajaan Korea Selatan mengumumkan rancangan untuk pelaburan tambahan sebanyak $4.9 bilion dalam industri semikonduktor negara itu, berikutan "ketidakpastian semakin meningkat" terhadap tarif Amerika Syarikat (AS).

"Pelan pelaburan fiskal yang agresif dirangka untuk membantu firma tempatan mengharungi cabaran yang semakin meningkat dalam semikonduktor global," menurut kementerian kewangan dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu pakej sokongan cip negara akan ditingkatkan sebanyak $4.9 bilion.

Korea Selatan merupakan pengeksport utama ke Amerika Syarikat dan industri semikonduktor dan automotif akan terjejas teruk bawah tarif 25 peratus Presiden AS Donald Trump.

Korea Selatan adalah lokasi kepada pembuatan cip memori terbesar di dunia Samsung, dan pembekal cip memori terbesar SK Hynix.

Kementerian kewangan Korea Selatan turut memaklumkan bahawa tarif dari AS menyebabkan industri berkenaan meminta sokongan kerajaan.

"Untuk memupuk ekosistem dinamik, diterajui sektor swasta untuk inovasi dan pertumbuhan semikonduktor, kerajaan akan meningkatkan pelaburannya dalam sektor itu daripada 26 trilion won ($18.2 bilion) kepada 33 trilion won ($23.1 bilion)," kata kementerian itu.

Pada 2 April, Trump mengumumkan sejumlah besar tarif ke atas rakan perdagangan di seluruh dunia, termasuk 25 peratus ke atas barangan Korea Selatan namun pelaksanaannya ditangguhkan selama 90 hari.

Bagaimanapun kementerian berkenaan terus memberi perhatian dalam sektor semikonduktor dan farmaseutikal.

"Tempoh ini memberi peluang kepada Korea Selatan untuk mengukuhkan daya saing syarikat di tengah-tengah ketegangan perdagangan global.

"Kerajaan merancang untuk meluaskan sokongan untuk industri semikonduktor dengan memperuntukkan 33 trilion won ($23.1 bilion), dengan lebih empat trilion won dalam perbelanjaan fiskal ditetapkan untuk disuntik menjelang 2026," menurut Menteri Kewangan Choi Sang-mok.

Pakej itu termasuk pembiayaan untuk pembangunan infrastruktur, talian penghantaran bawah tanah di kluster semikonduktor yang sedang dibina.

"Kerajaan memberi jaminan dalam menyokong pelaburan syarikat semikonduktor," kata Choi. Pakej itu termasuk mendapatkan bakat untuk industri.

Pelaburan itu adalah sebahagian daripada cadangan belanjawan tambahan yang disemak semula sebanyak 12 trilion won ($8.4 bilion), dan perlu diluluskan oleh Dewan Negara.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI