fb fb fb fb fb

Korea Selatan perketat undang-undang, cegah kebocoran rahsia perniagaan

Foto REUTERS

SEOUL, 17 Oktober - Korea Selatan akan memperkasa langkah-langkah untuk mencegah kebocoran data perniagaan ke luar negara di tengah persaingan sengit untuk teknologi canggih, kata Menteri Kewangan, Choi Sang-mok, pada Khamis.

"Kami akan mencegah kebocoran teknologi maju secara haram bagi meningkatkan daya saing global syarikat-syarikat kami dan memperkukuh kepimpinan dalam bidang teknologi," ujar Sang-mok.

"Kerajaan akan mewujudkan sistem 'Data Raya' (Big Data) di agensi paten untuk mencegah kebocoran teknologi serta memperkenalkan peraturan baharu bagi memastikan hukuman lebih berat dikenakan kepada pihak yang bersalah", jelas beliau, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai hukuman berkenaan

Menurut Perkhidmatan Risikan Kebangsaan, dalam tempoh lima tahun, terdapat 97 percubaan untuk membocorkan rahsia perniagaan ke negara asing dengan 40 daripadanya melibatkan industri semikonduktor.

Sekiranya percubaan berkenaan berjaya, ia akan menyebabkan kerugian sekitar 23 trilion won atau (AS$16.85 bilion) kepada negara.

Bulan lalu, seorang eksekutif perniagaan Korea Selatan dituduh mencuri maklumat semikonduktor yang dibangunkan oleh Samsung Electronics dan telah ditahan atas dakwaan berkaitan kecurian teknologi pemprosesan cip.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Korea Selatan telah menetapkan 12 industri sebagai "teknologi strategik negara" dengan sokongan kewangan dan perlindungan khusus bagi menghadapi persaingan global yang semakin meningkat serta pemecahan rantaian bekalan.

Industri tersebut termasuk semikonduktor, bateri boleh dicas semula, aeroangkasa, dan kecerdasan buatan (AI).-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD