fb fb fb fb fb

Korea Selatan mahu jadi pembekal senjata terbesar dunia

(Askar Korea Selatan memberi tabik hormat di hadapan bendera negara
yang besar di Pohang, Korea Selatan, 30 September 2021/ REUTERS)

SEOUL, 29 Mei- Korea Selatan memanfaatkan perjanjian senjata bernilai AS$13.7 bilion (RM63.12 bilion) dengan Poland, yang terbesar bagi Seoul, sebagai asas menjadi pembekal senjata terbesar di dunia.

Negara yang memiliki kepakaran teknikal ketenteraan yang canggih itu berharap dapat memenuhi permintaan senjata, peluru dan kenderaan perang berikutan peningkatan peperangan serta ketegangan di serata dunia sekarang.

Kementerian Pertahanan negara itu memaklumkan, jualan senjata Korea Selatan melonjak kepada lebih AS$17 bilion (RM78.33 bilion) pada 2022, berbanding $7.25 bilion (RM33.4 bilion) pada tahun sebelumnya.

Sebahagian besarnya bagi memenuhi permintaan Barat yang menumpukan bekalan senjata kepada Ukraine dan peningkatan ketegangan di kawasan panas lain seperti Korea Utara serta Laut China Selatan.

Perjanjian senjata dengan Poland, anggota utama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada tahun lalu, merangkumi ratusan pelancar roket Chunmoo, kereta kebal K2, meriam howitzer bergerak sendiri K9 dan pesawat pejuang FA-50.

Nilai perjanjian dan jumlah senjata yang diperkatakan itu menarik perhatian ramai, termasuk dalam kalangan pemain pertahanan terbesar dunia.

Pegawai Korea Selatan dan Poland berkata kerjasama itu akan membantu mereka menakluki pasaran senjata Eropah, walaupun selepas perang Ukraine.

Ini kerana Seoul yakin mampu menyediakan senjata berkualiti tinggi lebih pantas berbanding negara lain, manakala Poland menawarkan kapasiti pembuatan dan saluran jualan ke Eropah.

Reuters bercakap dengan 13 eksekutif syarikat dan pegawai kerajaan, termasuk mereka yang terbabit secara langsung dalam perjanjian itu.

Mereka menyatakan perjanjian itu menyediakan pelan tindakan untuk menggunakan perkongsian awam-swasta antarabangsa serta konsortium bagi meluaskan capaian Seoul dan cita-citanya untuk menjadi salah satu pembekal senjata terbesar dunia.

"Republik Czech, Romania, Slovakia, Finland, Estonia, Latvia, Lithuania dan lain-lain berfikir untuk membeli produk pertahanan di Eropah saja.

Syarikat Korea Selatan tidak mendedahkan harga bagi unit senjata mereka, yang sering dijual dengan kenderaan sokongan, bantuan teknikal dan alat ganti.

Perjanjian itu membawa kepada penubuhan konsortium syarikat Korea Selatan dan Poland, bagi menghasilkan senjata, menyelenggara jet pejuang dan menyediakan rangka kerja berkaitan, yang akhirnya dibekalkan kepada negara Eropah lain, kata pengarah Pejabat

Projek Eksport di Kumpulan Persenjataan Poland (PGZ), Lukasz Komorek.

Pegawai di Seoul dan Warsaw berkata, antara usaha sama yang dimeterai termasuk membina senjata Korea Selatan dengan lesen di Poland.

Di bawah rancangan itu 500 daripada 820 kereta kebal dan 300 daripada 672 meriam howitzer akan dibina di kilang Poland mulai 2026.


(Sebuah meriam K9 howitzer yang dihasilkan di Korea Selatan menjalani ujian di
lapang sasar tentera di Wierzbiny dekat Orzysz, Poland/ REUTERS)

Senjata Korea Selatan, yang direka bentuk supaya memenuhi spesifikasi AS dan NATO, menjadikannya pilihan utama, malah ia adalah pembekal senjata ketiga terbesar kepada NATO dan negara anggotanya, kata Institut Penyelidikan Kemanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI).

Korea Selatan juga membekalkan 63 peratus eksport barangan pertahanan antara 2018-2022, berikutan tindakan negara serantau mempertingkatkan pertahanan susulan persaingan China-AS yang semakin memuncak, menurut SIPRI lagi.

Seoul juga sedang membangunkan jet pejuang KFX dengan Indonesia, yang turut menarik perhatian Poland.

Malaysia juga tahun ini membeli pesawat pejuang FA-50 bernilai hampir AS$1 bilion (RM4.6 bilion) daripada Korea Selatan, yang turut membida bagi kontrak AS$12 bilion (RM55.2 bilion) untuk membekalkan kenderaan tempur infantri kepada Australia. - REUTERS

Media Baharu