SEOUL, 2 Jun - Korea Selatan mengenakan sekatan unilateral ke atas kumpulan penggodam Korea Utara yang dikenali sebagai Kimsuky sebagai tindak balas terhadap pelancaran roket satelit pengintip tentera di angkasa oleh Pyongyang
Sekatan sebagai amaran kepada masyarakat antarabangsa mengenai aktiviti haram kumpulan itu yang didakwa terlibat dalam kecurian maklumat dan teknologi.
Kementerian Luar Korea Selatan berkata Kimsuky, sebuah unit dalam Biro Am Peninjau, agensi perisikan tentera Korea Utara didakwa mengumpul risikan daripada individu dan institusi dalam bidang diplomasi, keselamatan dan pertahanan negara, dan menyerahkannya kepada rejim Korea Utara.
Kumpulan itu juga diketahui terlibat dalam memperoleh teknologi canggih berkaitan pembangunan senjata, satelit dan teknologi angkasa di seluruh dunia yang secara langsung atau tidak langsung membantu dalam projek pembangunan satelit Korea Utara.
Tindakan Seoul itu merupakan sekatan unilateral pertama di dunia terhadap kumpulan penggodam Korea Utara.
Pyongyang mengakui bahawa percubaannya untuk melancarkan satelit pengintip ketenteraan ke orbit gagal dan berjanji untuk melancarkan semula secepat mungkin.-AFP