fb fb fb fb fb

Laluan baharu seludup dadah di Asia Tenggara

(FOTO FAIL: Methamphetamine kristal yang dirampas disembunyikan di dalam uncang teh/ REUTERS)

BANGKOK, 2 Jun- Sindiket pengedaran dadah sintetik di Asia Timur dan Asia Tenggara semakin 'rancak', dengan wujudnya laluan penyeludupan baharu untuk pasaran methamphetamine, termasuk dirangsang pengeluaran ketamin yang semakin berkembang, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Angka tinggi methamphetamine atau syabu terus dihasilkan di Shan, Myanmar dan diseludup dari negeri itu melalui Thailand dan Laos.

Mendedahkan taktik baharu itu, Wakil Serantau Pejabat Dadah dan Jenayah PBB, Jeremy Douglas, berkata terdapat laluan baharu penyeludupan melalui tengah Myanmar.

"Penyeludup terus menghantar dalam jumlah besar melalui Laos dan utara Thailand.

"Pada masa sama, mereka terus menyeludup bekalan yang besar melalui tengah Myanmar ke Laut Andaman, tempat kurang pemantau di kawasan berkenaan," katanya dalam satu laporan.

Secara keseluruhan, pihak berkuasa di Asia merampas hampir 151 tan methamphetamine pada tahun lalu, menurun daripada 171.5 tan pada 2021. Mengikut laporan, sebahagian besar rampasan dibuat di laluan baharu itu.


(FOTO FAIL/ AFP)

Kumpulan jenayah terancang mengekalkan pasaran didorong pengembangan strategi, mengurangkan jumlah dan kos dadah.

Laporan itu mendedahkan, harga borong methamphetamine kristal terus menyusut di Asia Timur dan Asia Tenggara, dengan Thailand dan Laos masing-masing merekodkan harga borong serendah AS$1,000 (RM4,577,80) sekilogram di wilayah sempadan Thailand.

Pihak berkuasa di rantau berkenaan turut merekod rampasan sebanyak 27.4 tan ketamin pada tahun lalu, meningkat 167 peratus pada tahun sebelumnya. - REUTERS

Media Baharu