fb fb fb fb fb

Korea Selatan, ASEAN tingkatkan hubungan ke tahap tertinggi

Foto AFP

VIENTIANE, 11 Oktober- Korea Selatan dan ASEAN meningkatkan hubungan mereka ke tahap tertinggi pada Khamis, menekankan kepentingan mempromosikan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dan para pemimpin ASEAN menerima pakai deklarasi bersama mengenai penubuhan "perkongsian strategik komprehensif", satu istilah diplomatik yang merujuk kepada tahap hubungan tertinggi yang boleh dibentuk oleh ASEAN dengan rakan dialog, semasa sidang kemuncak mereka di Vientiane, Laos.

Ini adalah suatu tindakan menaik taraf hubungan antara kedua-dua belah pihak yang pertama dalam 14 tahun selepas mereka membentuk "perkongsian strategik" yang merupakan tahap lebih rendah pada 2010.

Korea Selatan menjadi rakan dialog keenam ASEAN yang mencapai tahap hubungan tertinggi selepas Amerika Syarikat, China, Jepun, Australia dan India.

"Hari ini, Korea Selatan dan ASEAN telah menubuhkan perkongsian strategik komprehensif untuk memperkukuh lagi kerjasama," kata Yoon. "Sebagai rakan kongsi untuk kemakmuran bersama, kita akan menggerakkan kerjasama menyeluruh merangkumi pelbagai bidang."

Semasa sidang kemuncak itu, Yoon dan para pemimpin ASEAN membincangkan kebimbangan keselamatan serantau berikutan ancaman Korea Utara dan peningkatan sikap bertegas China di Laut China Selatan.

Mereka mengesahkan "kepentingan mengekalkan dan mempromosikan keamanan, kestabilan, keselamatan, keselamatan pelayaran dan kebebasan navigasi di dan penerbangan di atas Laut China Selatan, selaras dengan undang-undang antarabangsa," menurut deklarasi bersama itu.

Para pemimpin ASEAN turut menyatakan sokongan terhadap doktrin penyatuan Yoon yang mengutamakan "kawasan Semenanjung Korea yang bebas nuklear, aman dan makmur," serta usaha untuk menyambung semula dialog dengan Korea Utara, katanya.

Trainee