SEOUL, 22 Februari- Menteri Luar Korea Selatan, Cho Tae-yul akan melawat Amerika Syarikat (AS) dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Antony Blinken pada 28 Februari, kata kementerian itu pada Khamis.
Cho akan menuju ke AS selepas menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Brazil, kata jurucakap kementerian itu, Lim Soo-suk pada taklimat media.
"Cho dan Blinken merancang untuk membincangkan pengukuhan keupayaan mereka untuk melaksanakan "pencegahan lanjutan" berhubung Korea Utara serta pakatan strategik komprehensif global antara kedua-dua negara," kata Lim.
Perjalanan pada akhir bulan Februari itu menandakan lawatan pertama Cho ke AS, sejak memegang jawatannya bulan lepas.
Pejabat Presiden Yoon Suk Yeol berkata awal minggu ini bahawa Sidang Kemuncak Demokrasi ketiga akan dihoskan oleh Korea Selatan, bulan depan.
Memetik sumber diplomatik, agensi berita Yonhap telah melaporkan bahawa Seoul dan Washington sedang membincangkan kemungkinan lawatan Blinken ke Korea Selatan untuk acara itu.- REUTERS