fb fb fb fb fb

Insiden jambatan runtuh di China, dua maut dan tiga masih hilang

Foto AFP

BEIJING, 22 Februari- Dua maut dan tiga lagi masih hilang susulan tragedi jambatan runtuh di laluan air Hongqili berhampiran bandar Guangzhou, akibat pelanggaran sebuah kapal kargo.

Insiden itu menyebabkan beberapa kenderaan di atas jambatan terjunam ke dalam air, lapor media kerajaan China pada Khamis.

Semua pergerakan lalu lintas di atas jambatan tersebut dihentikan sementara waktu.

Pentadbiran Keselamatan Maritim Guangzhou berkata dalam satu kenyataan di akaun media sosial WeChat mereka, kapal itu dalam perjalanan dari bandar Foshan ke daerah selatan Guangzhou, apabila ia berlanggar dengan jambatan Lixinsha pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan.

Imej yang disiarkan di China Central Television (CCTV) menunjukkan sebuah kapal kontena kosong tersepit di antara dua tiang Jambatan Lixinsha, dengan sebahagian daripada dek jalan dua lorong jambatan itu hilang.

Semua pergerakan lalu lintas jalan raya dihentikan sementara waktu.

"Lima kenderaan termasuk bas dan motosikal terjatuh dari jambatan, dua terhumban ke dalam sungai dan yang lain jatuh ke atas kapal."

"Hanya terdapat pemandu bas di dalam bas berkenaan dan tidak dapat dipastikan sama ada pemandu itu terselamat atau tidak," kata CCTV.

Menurut media tempatan, pihak berkuasa bandar raya telah menghantar anggota kecemasan dan penyelamat termasuk enam penyelam dan kapal penyelamat ke lokasi kejadian.

"Punca kemalangan bagaimanapun masih dalam siasatan dan laporan penuh berhubung jumlah mangsa turut dalam pengesahan," kata pentadbiran maritim Guangzhou dalam kenyataannya.

Jambatan Lixinsha adalah laluan pengangkutan utama untuk penduduk Pulau Sanmin, dengan terdapat perkhidmatan feri disediakan kepada penduduk setempat.

Guangzhou, ibu kota wilayah Guangdong selatan yang makmur berhampiran muara Sungai Mutiara, merupakan salah satu hab pengangkutan dan perdagangan maritim paling sibuk di China.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM