fb fb fb fb fb

Korea Selatan, Vietnam setuju perkukuh kerjasama ekonomi, tenaga - Presiden

Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung

SEOUL, 12 Ogos - Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung pada Isnin berkata beliau dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang utama termasuk pertahanan, tenaga, bahan kritikal, sains dan sistem rel, semasa sidang kemuncak di Seoul, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pertemuan itu merupakan lawatan negara pertama oleh pemimpin asing ke Korea Selatan di bawah pentadbiran baharu, yang berlangsung dari 10 hingga 13 Ogos.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan komunikasi strategik dan tindakan bersama dalam dasar luar, pertahanan dan keselamatan, termasuk kerjasama dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Kami telah memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam industri pertahanan dan penguatkuasaan undang-undang bagi mempromosi keamanan serta kestabilan di rantau ini, dan untuk mempergiat pertukaran antara parlimen serta kerajaan tempatan kedua-dua negara,” kata Lee.

Seoul dan Hanoi turut bersetuju untuk mempercepatkan pertumbuhan perdagangan dan pelaburan.

Sempena ulang tahun ke-10 perjanjian perdagangan bebas kedua-dua negara, mereka mengesahkan semula sasaran untuk mencapai perdagangan dua hala bernilai US$150 bilion menjelang 2030.

Perhatian khusus diberikan kepada projek infrastruktur utama, seperti pembinaan landasan kereta api laju Utara-Selatan Vietnam dan pembangunan kawasan bandar baharu.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam tenaga atom - termasuk latihan tenaga kerja dan pembinaan loji kuasa nuklear serta tenaga boleh diperbaharui, khususnya tenaga solar dan angin.

Dalam bidang sains, kedua-dua negara merancang menjalankan penyelidikan bersama dalam kecerdasan buatan, bioteknologi dan tenaga, di samping program pertukaran pakar.

“Kami juga akan memperkukuh kerjasama dalam mineral kritikal dengan menggabungkan sumber nadir bumi Vietnam yang kaya dengan teknologi Korea,” kata Lee, sambil menambah bahawa usaha sedang dijalankan untuk menubuhkan pusat kerjasama bersama bagi rantaian bekalan mineral kritikal.

Perbincangan itu turut menghasilkan persetujuan untuk menambah baik taraf hidup diaspora dan keluarga berbilang budaya, serta meningkatkan kerjasama dalam kandungan budaya termasuk perlindungan hak cipta.

Lee berkata beliau turut memperoleh sokongan Vietnam bagi menyambung semula dialog antara Korea bagi menangani isu nuklear.- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

ROSLINA BINTI DIN