BRUSSELS, 12 Ogos - Kesatuan Eropah (EU) mengecam pembunuhan lima wartawan Al Jazeera dalam serangan udara tentera Israel di Gaza, menurut Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas.
"EU mengecam pembunuhan lima wartawan Al Jazeera dalam serangan udara tentera Israel berhampiran Hospital al-Shifa di Bandar Gaza, termasuk koresponden Al Jazeera, Anas al-Sharif," kata Kallas selepas Mesyuarat secara maya bersama Menteri-menteri Luar EU yang membincangkan situasi perang di wilayah tersebut.
Pihak tentera Israel dalam kenyataan balas mendakwa Anas al-Sharif mengetuai unit operasi Hamas dan bertanggungjawab terhadap serangan roket ke atas Israel.
Bagaimanapun, Kallas menegaskan bahawa tuduhan seperti itu perlu disertakan dengan bukti kukuh, sejajar dengan prinsip kedaulatan undang-undang, bagi mengelakkan serangan terhadap wartawan tanpa asas.
"EU mengambil maklum dakwaan Israel, namun perlu ada bukti yang jelas agar prinsip undang-undang dihormati dan wartawan tidak dijadikan sasaran," ujarnya.
Isu konflik di Gaza terus memecahbelahkan 27 negara anggota EU, antara yang menyokong kuat Israel dan yang mempertahankan hak rakyat Palestin.
Bulan lalu, EU mencapai persetujuan untuk meningkatkan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza, namun beberapa pegawai kanan mengakui pelaksanaannya masih belum menyeluruh.
Kallas turut menggesa Israel agar membenarkan lebih banyak bantuan kemasukan ke Gaza.
"Walaupun bantuan semakin bertambah, keperluan di Gaza masih jauh lebih besar. Kami mendesak Israel membenarkan lebih banyak trak bantuan dan pengagihan yang lebih efisien," katanya.-AFP